SINGAPURA: Anda baru menerima mesej WhatsApp, namun anda tidak mahu si pengirim tahu anda sudah menerimanya dan membacanya.
Mungkin anda sedang mengelak individu tersebut dan enggan menjawab mesejnya itu, atau anda terlalu malas untuk menjawabnya. Atau, anda perlukan lebih banyak masa untuk memberikan jawapan, tetapi tidak mahu perkara ini diketahui beliau.
Jadi, bagaimana caranya untuk membaca mesej tersebut tanpa menyebabkan dua tanda biru (tick) muncul di ruang perbualan aplikasi WhatsApp, Facebook Messenger atau iMessage - yang menunjukkan anda sudah membacanya?
Caranya mudah - hidupkan fungsi 'Airplane Mode' atau 'Flight Mode' yang menyekat akses bagi khidmat Wi-Fi dan isyarat telefon bimbit, menurut laman Emirates247.
Menurut Emirates247, untuk berbuat demikian, anda tidak seharusnya membuka aplikasi berkenaan, seperti Whatsapp, sebaik sahaja menerima mesej.
Sebaliknya, anda perlu hidupkan fungsi 'Airplane Mode' atau 'Flight Mode' di telefon bimbit iOs atau Android anda.
Sebaik sahaja fungsi ini diaktifkan, anda akan dapat membuka app dan membaca mesej tersebut tanpa ada dua tanda biru (tick) pada ruang perbualan.
Setelah selesai membacanya, anda perlu menutup app sepenuhnya semasa telefon bimbit masih dalam 'Flight Mode' agar tindakan anda membaca mesej secara senyap-senyap terus dirahsiakan, menurut Emirates247.
Pengirim mesej itu tidak akan tahu anda sudah membaca mesej berkenaan, selagi anda tidak membuka ruang perbualan itu semasa 'Flight Mode' dimatikan dan anda berada online.
CARANYA UNTUK IMESSAGE
Untuk mengelak kenalan anda mendapat tahu anda sudah membaca mesej yang dikirimkan menerusi iMessage pula, anda perlu mematikan fungsi 'Send Read Receipts'.
Menurut Emirates247, untuk berbuat demikian bagi alat mudah alih iOS, klik 'Settings', kemudian 'Messages' dan ubah 'Send Read Receipts' daripada 'on' kepada 'off'.
Bagi komputer Mac pula, klik 'Messages', kemudian 'Preferences' dan 'Accounts'. Pastikan kotak 'Send read receipts' tidak mempunyai tanda biru (tick).
- Agensi berita/nd