Filled Under:

Cerita Penuh Histeria Dahsyat Yang Menyerang 3 Sekolah Dan Ratusan Pelajar Di Kelantan

  • Sedia maklum, baru-baru ini sebuah sekolah di Kelantan menjadi viral apabila ia terpaksa ditutup dan mendapat cuti peristiwa kerana berlakunya kejadian histeria yang melibatkan sejumlah pelajar yang begitu ramai

    • Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 2 ditutup selama 3 hari bermula dari tarikh 14 April lalu kerana lebih 50 orang pelajar termasuk 8 guru telah mengalami histeria yang agak teruk.

      Pengetua, Siti Hawa Mat, dalam sidang medianya minggu lalu, berkata cuti itu hanya diberikan kepada 1,044 pelajar tetapi guru masih hadir seperti biasa.
    • "Ia adalah bagi memberi peluang kepada pelajar terutama yang diserang histeria memulihkan semula semangat mereka. 

      "Kesempatan itu juga digunakan memulihkan keadaan sekolah bagi membolehkan sesi persekolahan berjalan semula seperti biasa," katanya.
  • Menurut pengetua tersebut, pihaknya sudah pun menjemput beberapa pengamal perubatan Islam ke sekolah itu untuk memeriksa kawasan di sekolah tersebut

    • Pengamal perubatan Islam tersebut memaklumkan kepada beliau bahawa terdapat beberapa kawasan yang didakwa 'keras' dan kini usaha memulihkan keadaan itu sedang dilakukan.
      • DccaImage via www.kosmo.com.my
        Siti Hawa (pengetua) menunjukkan blok bangunan sekolah yang lengang berikutan kes histeria yang terjadi minggu lalu.
    • "Kami tidak diberikan sebarang pantang larang sebaliknya hanya membaca al-Quran selain beberapa pelan intervensi yang dilakukan termasuk bacaan Yasin dan berzikir. 

      "Buat masa kini keadaan sudah semakin pulih dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan terus kepada Jabatan Pendidikan negeri (JPN) termasuk menyambung cuti jika diperlukan," katanya.
  • Sinar Harian melaporkan kejadian terbabit dipercayai bermula selepas ada pelajar mendakwa melihat makhluk asing yang diyakini pocong, di dalam sebuah kelas kosong

    • Mangsa, Raja Nor Athirah 17, yang merupakan pelajar tingkatan 5 di sekolah berkenaan memberitahu, dalam kejadian tersebut dia berasa kebas di kedua-dua belah tangan sebelum fikiran menjadi berserabut.

      Dia kemudiannya rebah dan meracau-racau sebelum 'berjangkit' kepada pelajar lain.
    • "Mula-mula kedua-dua tangan kebas, selepas itu dunia rasa gelap dan serabut. Saya mula menangis sehinggalah guru-guru datang membantu," katanya ketika ditemui minggu lalu.
    • Bagaimanapun, setelah 3 hari ditutup, ternyata kejadian histeria di sekolah itu masih berterusan dan dikatakan masih parah
    • Pengamal perubatan Islam dan bomoh Cina juga dipanggil untuk meredakan keadaan. Selain itu, sesi bacaan al-Quran dan berdoa turut diadakan tetapi apabila sekolah dibuka semula Khamis lalu, histeria masih berlaku.

      Sementara itu, 17 April lalu, Harian Metro turut melaporkan di laman Twitter bahawa sesi persekolahan masih berjalan seperti biasa.
    • Akhbar Harian Metro turut berkongsi sesi temu bual wartawan mereka bersama mangsa-mangsa yang telah diganggu.

  • #Mangsa 1: pelajar SMK Pengkalan Chepa 2, Nik Nor Awadah Rohairul, 15

    • "Ketika itu (Isnin) saya belajar dalam kelas, tiba-tiba terdengar pelajar menjerit dan ia seperti berjangkit kepada orang lain.

      Keadaan menjadi kelam-kabut apabila semakin ramai meracau dan menjerit sebelum kami semua diminta berkumpul di surau sekolah.

      Tidak semena-mena saya berasa sangat takut dan jadi lemah. Saya juga ikut menjerit tidak berhenti sebelum menyedari ada guru dan rakan menenangkan.

      Saya ingat, dua kali saya diserang dan kali kedua pada Rabu. Ada rakan nampak lembaga hitam di kawasan kelas dan tandas perempuan, tapi saya tak nampak.

      Cuma saya merasakan ‘benda’ itu berada berhampiran dengan saya ketika itu. Tapi Alhamdulillah ustaz datang membantu dan saya semakin pulih."
  • #Mangsa 2: Ibu Nik Nor Awadah, Nik Sunizan Nik Shafik, 44

    • "Sebagai ibu sudah pasti saya terkejut selepas dimaklumkan anak diserang histeria.

      Sebaik dimaklumkan guru, saya terus ke sekolah untuk mengambilnya pulang, tetapi terkejut apabila lihat ramai pelajar dan guru menjerit.

      Takut juga, tapi keadaan anak lebih penting. Ketika saya menemuinya, dia semakin pulih selepas dibantu ustaz.

      Pada Selasa, saya bekalkan lada hitam kepada anak saya sebagai ‘pelindung’ selain berpesan kepadanya sentiasa membaca ayat suci al-Quran dan menjaga kelakukan.

      Cuma pada Rabu, dia sekali lagi diserang, sekali gus membuatkan saya semakin resah. Mujur ia tidak seteruk kejadian pertama.

      Harapan saya pihak sekolah dapat lakukan sesuatu supaya perkara sama tidak berulang kerana ia boleh mengganggu pelajaran pelajar di sekolah berkenaan.

      Saya yakin sekolah akan buat yang terbaik dan berharap sesi persekolahan Ahad ini berjalan seperti biasa."
      • 64a1Image via www.hmetro.com.my
        Nik Nor Awadah (kanan) bersama ibunya Nik Sunizan Nik Shafik.
  • #Mangsa 3: Guru Pendidikan Jasmani SMK Pengkalan Chepa 2 Norlelawati Ramli, 32, yang hampir histeria

    • "Selepas cuba menenangkan seorang pelajar yang histeria di tingkat empat, saya rasa tidak sedap hati sebelum tangan tiba-tiba menjadi berat.

      Serentak itu kelibat lembaga hitam tiba-tiba melintasi pandangan dan saya terasa seperti ditarik. Saya segera membaca ayat Kursi dan tidak lama kemudian ‘dilepaskan’.

      Saya tidak menjerit, tetapi tiba-tiba hati saya sedih sangat dan menangis. Ini pengalaman pertama saya melalui kejadian begini."
  • #Mangsa 4: Guru Kimia SMK Pengkalan Chepa 2 Kamariah Ibrahim, 48, yang hampir dirasuk

    • "Ketika menenangkan pelajar, saya terasa seperti ada sesuatu cuba masuk ke dalam badan saya.

      Saya tiba-tiba rasa meremang dan kebas di pipi sebelum dikerumuni beberapa rakan membacakan ayat Kursi.

      Saya tidak meracau, tapi menangis tidak berhenti selama sejam ketika terdengar surah Yassin sebelum tenang kemudiannya."
  • Belum pun reda dengan kejadian histeria di sekolah itu, hari ini dilaporkan tiga lagi sekolah di daerah terbabit mengalami nasib yang sama dan salah seorang mangsa ternampak kelibat lembaga hitam berbulu

    • Antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 1 (SMKPC 1), Sekolah Menengah Kebangsaan Kemumin dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Kerian 3 yang mana melibatkan hampir 30 pelajar termasuk seorang guru.
    • Dikatakan kejadian terbabit berlaku sekitar jam 11 pagi selepas waktu rehat, dan ada pelajar di salah sebuah sekolah terlibat mendakwa ternampak kelibat lembaga hitam melintas selepas pergi ke tandas.

      Menurut seorang pelajar tingkatan lima SMKPC 1, dalam kejadian kelmarin, hampir enam pelajar perempuan tingkatan satu dikatakan menjerit selepas ternampak ‘lembaga hitam'.

      “Mereka juga ada kata lembaga itu berwajah hodoh dan berbulu dan mereka turut meracau-racau selepas melihat lintasan jelmaan itu.

      “Saya juga pernah merasai pengalaman diserang histeria ketika tingkatan satu dan tiga di sekolah SMKPC 2, namun kini selepas bersekolah di SMKPC 1, gangguan itu beransur hilang,” katanya ditemui semalam.
    • Namun, menurut Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Che Abdullah Mohamad, walaupun serangan histeria itu berlaku di sekolah terbabit, ia masih terkawal.
  • Jadi apakah sebenarnya histeria ini?

    • Histeria adalah satu jenis gangguan dari kuasa luar iaitu makhluk halus. Ia seringkali menjadi perdebatan dalam sejarah dunia perubatan kerana usaha mengenal pasti punca histeria banyak bergantung kepada faktor budaya, nilai dan kepercayaan sesuatu masyarakat.

      Sesetengah budaya melihat punca histeria ada kaitannya dengan kemasukan dan gangguan kuasa luar. Pandangan lain pula mengaitkan histeria dengan gangguan seksual dan spiritual, selain daripada faktor gangguan tubuh badan dan minda.
  • Tetapi mengapa histeria sering 'menyerang' kaum hawa?

    • Ini tidak menghairankan kerana perkataan histeria itu sendiri berasal daripada perkataan hystron, yang bermaksud rahim wanita. Kedudukan rahim dalam tubuh wanita boleh mempengaruhi emosi dan minda.

      Pada zaman pertengahan, penyakit histeria dikaitkan dengan unsur-unsur gangguan hantu atau makhluk halus, permainan ahli sihir dan juga sikap fanatik sesetengah ahli agama. Kemudian ia dikaitkan dengan penyakit wanita.

      Histeria juga dilihat sebagai satu bentuk kecelaruan neurotik yang lazimnya bermula di peringkat remaja dan awal dewasa dan lebih kerap menyerang perempuan berbanding lelaki.

      Baca artikel penuh di SINI.