Rakaman CCTV menunjukkan pergerakan wanita berkenaan tumbang ketika solat Tarawih. |
PORT DICKSON - Saf wanita ketika solat tarawih gempar apabila salah seorang jemaahnya tumbang dan seperti tidak sedarkan diri beberapa saat malam semalam.
Kejadian berlaku pada jam 9.41 malam di Masjid Selat Melaka.
Kejadian berkenaan di rakam kamera litar tertutup (CCTV) itu memaparkan beberapa jemaah wanita lain membatalkan solat dan segera membantu wanita berkenaan.
Rakaman berdurasi 51 saat itu kemudiannya tersebar di laman sosial WhatsApp dan ada yang bertanggapan wanita berkenaan meninggal dunia ketika solat.
Imam masjid, Rosli Md Yusof berkata, semakan pada CCTV di buat selepas menerima laporan daripada jemaah wanita.
"Semakan di buat hanya untuk memastikan apa yang berlaku sebenarnya.
"Ketika kejadian, jemaah lelaki langsung tidak menyedari insiden itu, dan solat tarawih berjalan seperti biasa sehingga ke akhir.
"Saya difahamkan, jemaah wanita itu berusia sekitar akhir 30an, tidak menerima sebarang rawatan dan terus menyambung semula solat tarawih selepas dia jatuh," katanya.